Pada minggu lepas, saya sempat singgah ke Jalan Pasar yang terletak di Pudu, Kuala Lumpur ketika selepas solat Jumaat. Bagi yang tidak mengenali lokasi ini, Jalan Pasar cukup sinonim bagi warga Kuala Lumpur sebagai ‘syurga’ untuk barangan elektronik. Boleh dikatakan hampir jumlah besar kedai yang berada di sini kesemuanya menjual peralatan elektronik. Kebiasaannya, saya akan ke sini untuk mencari peralatan audio visual.
Selain daripada menjual peralatan elektronik, Jalan Pasar juga turut sinonim dengan jualan barangan kering yang dijual di kaki lima kedai lokasi ini. Ada yang menjual beg, pakaian, ubat-ubatan, dan pelbagai barangan menarik yang untuk dilihat. Cuma pada kali ini, saya tertarik dengan jualan aksesori telefon yang menjual storan USB yang kita sedia kenali sebagai ‘pendrive’ dijual dengan harga yang sangat murah. Ekspresi pertama saya sudah tentu ini pendrive tiruan. Tidak mungkin pendrive 128GB boleh didapati dengan harga RM9!
Sebelum ini, saya perasan kehadiran storan tiruan mula dijual secara meluas di beberapa lokasi utama sekitar Kuala Lumpur terutamanya pada tahun ini. Sekiranya anda berkunjung ke Bazaar Masjid India, anda pasti akan perasan kehadiran peniaga yang menjual pendrive dengan harga murah terutamanya di hadapan Masjid India itu sendiri. Selain Masjid India, lokasi popular lain yang turut menjadi sindiket jualan storan seperti ini boleh didapati di Pasar Karat Kuala Lumpur, Petaling Street, dan sudah tentu, Jalan Pasar yang saya nyatakan di atas sebelum ini.
Yang menariknya, barangan sebegini dijual secara meluas dan terbuka kerana rupanya lebih kurang sama dengan storan USB original. Sekiranya pembeli inginkan bukti bahawa pendrivetersebut betul-betul mempunyai storan 128GB di dalamnya, si peniaga pasti boleh menunjukkannya.
Storan USB tiruan ini sekiranya ia dipalam pada komputer, ia akan menunjukkan storan bebas yang sama seperti original. Daripada pandangan kasar, ia seolah-olah tiada beza dengan storan original malah ia jauh lebih murah daripada kebiasaannya.
Jadi, Apa Sebenarnya Storan Tiruan Ini?
Storan tiruan merujuk kepada storan kapasiti rendah yang telah digodam, jadi ia boleh menunjukkan jumlah storan yang lebih besar daripada yang sepatutnya hadir di dalam storan USB tersebut.
Storan seperti ini akan mengatakan ia mempunyai kapasiti yang telah diperbesarkan pada sistem operasi, yang mana ia akan memberitahu jumlah storan yang salah sekiranya kita melihatproperties storan ini. Storan tiruan boleh beroperasi secara normal pada kapasiti rendahnya akan tetapi sekiranya ia mencapai tahap kapasiti ‘sebenarnya’, file di dalamnya akan mula corrupt dan turut berpotensi menghilangkan data secara besar-besaran.
Sebagai contoh, saya ambil storan USB yang dikatakan dalamnya ada 512GB. Tapi disebabkan ia telah digodam, storan ini hanya mempunyai kapasiti ‘sebenar’ yang sebesar 16GB sahaja di dalamnya dan bukan bersaiz 512GB seperti dinyatakan dalam properties pada komputer.
Secara kasar, storan tiruan juga mempunyai ‘real memory’ di dalamnya cuma ia tidak menunjukkan hasil storan sebenar sebaliknya menunjukkan storan palsu yang diperbesar hasil daripada proses godaman.
Apa yang turut membimbangkan, storan microSD turut sama menjadi mangsa tiruan ini.
Bagaimana Untuk Mengenal Pasti Storan Original atau Tiruan?
Perkara paling mudah yang anda boleh bezakan jenis storan ini adalah dari segi harga dan saiz kapasitinya. Harga storan USB yang murahnya dalam sekitar 10%, 20%, dan 40% lebih murah daripada harga asal masih boleh dikatakan original tapi sekiranya ia menjangkau harga 60%, 70% malah sehingga 90% lebih murah daripada harga sebenar, anda perlu mula berhati-berhati.
Sebagai contoh, harga pasaran storan USB bagi kapasiti 128GB adalah sekitar RM265. Di kedai lain, saya menjumpai harga yang lebih murah daripada kedai tersebut yang menjualnya dengan harga RM210 sahaja. Kedua-dua ini masih lagi boleh dikatakan harga pendriveoriginal kerana ia masih lagi agak mahal. Tapi sekiranya anda menjumpai pendrive 128GB pada harga serendah RM9, RM15, RM30, inilah yang dikatakan storan palsu.
Perkara lain yang anda boleh lihat adalah dengan mengenal pasti ketelusan packaging storan ini. Selalunya packaging storan tiruan hadir dengan tulisan dan font yang cetakannya agak buruk dan tidak sekemas packaging original. Cara ini mungkin agak sukar bagi pengguna biasa kerana bila dilihat, ia kelihatan lebih kurang sama. Saya sarankan sekiranya anda membeli storan original, telitikan cara packaging storan tersebut. Biasakan diri untuk membaca hasil kekemasan packaging original dan anda akan mula merasa perbezaan apabila memegang packaging storan tiruan.
Tipu Helah dan Simptom Storan Tiruan
Apabila anda melihat properties storan tiruan ini, sistem operasi seperti Windows, OS X dan termasuk Linux sendiri akan menunjukkan jumlah kapasiti seperti yang dinyatakan pada kotak pembelian. Melalui pemerhatian ini, ia seolah-olah menunjukkan storan yang betul dan sebenarnya inilah merupakan kapasiti yang telah digodam dan bukan jumlah kapasiti yang sebenar pada storan tersebut.
Tipu helah kedua, storan USB ini boleh digunakan sama seperti storan original. Anda boleh gunakan untuk membuat proses copydan paste file ke dalamnya asalkan tidak mencapai storan ‘sebenarnya’.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, storan tiruan akan menunjukkan simptom apabila data yang dimasukkan melebihi jumlah ‘sebenar’ daripada apa yang dinyatakan.
Selepas ia mencapai tahap tersebut, data baru yang dimasukkan akan hilang secara sendirinya. Folder mungkin ada yang tidak terkesan langsung akan tetapi data di dalamnya akan mula corrupt (selalunya dalam 0 byte) apabila ia dibaca semula. Perkara ini mudah dikenal pasti sekiranya anda cuba untuk membuka file di dalamnya, anda akan dapati gambar, video, dan dokumen anda rosak dan hilang tanpa diduga.
Simptom lain yang boleh didapati apabila storan jenis ini mula membuat proses overwriting secara sendirinya yang mana anda akan dapati root folder pada storan ini menjadi blank secara tiba-tiba. Ada juga simptom yang mana storan ini menjadi write protected apabila mencapai had storan sebenar dan ada juga simptom yang mana ia tidak akan menunjukkan sebarang error sehinggalah storan ini dikeluarkan dan dimasukkan kembali ke dalam komputer.
Bagaimana Untuk Menguji Storan Ini?
Salah satu cara anda boleh menguji storan tiruan ini adalah dengan meletakkan banyak data di dalamnya. Saya sarankan anda untuk meletakkan data sekurang-kurangnya 25% daripada kapasiti yang dinyatakan pada storan tersebut. Storan tiruan akan mula menunjukkan tidak ketulenannya apabila lebih 25% kapasiti digunakan daripada kapasiti storan asal.
Setelah anda meletakkan data lebih daripada yang dinyatakan di atas, keluarkan storan tersebut dan masukkan kembali ke dalam komputer. Sekiranya ada file yang mula corrupt atau salah satu file di dalamnya secara tiba-tiba mempunyai salinan file yang sama secara banyak, bermakna storan tersebut adalah dikatakan storan tiruan.
Cara lain yang anda boleh gunakan adalah dengan menggunakan perisian h2testw yang membolehkan anda melihat jumlah storan sebenar pada storan yang disyaki tiruan. Cuma melalui cara ini ia mengambil masa yang agak lama kerana ia akan menjalankan proses kemasukan dan bacaan data yang sebenar. Storan generic selalunya mempunyai writing speed sehingga 3 hingga 12MB per saat dan ini mungkin memakan masa kira-kira 10 hingga 40GB per jam.
Menggunakan perisian h2testw juga mudah yang mana ia hadir dengan antara muka yang ringkas dan straight-forward untuk pengguna. Anda hanya perlu memilih ‘target’ iaitu storan yang ingin diuji kemudian jalankan proses ‘write and verify data’. Sekiranya ia menunjukkan data loss yang banyak lebih daripada apa yang dinyatakan, storan tersebut disahkan mempunyai storan palsu di dalamnya.
Inilah sebab mengapa sindiket jualan storan tiruan sukar dibasmi kerana ia sukar dikenalpasti pada permulaannya dan memerlukan satu proses yang ‘proper’ seperti di atas yang mengambil masa yang agak lama.
Konklusi
Sekiranya anda terbeli storan seperti ini, anda masih boleh gunakannya seperti biasa cuma ada beberapa langkah perlu diambil. Saya sarankan anda jalankan ujian melalui perisian di atas dan kenal pasti storan sebenarnya. Sekiranya ia menunjukkan storan sebenar sebanyak 128MB, jangan masukkan data di dalamnya lebih daripada kapasiti tersebut. Jika tidak, file anda akan mula rosak dan sudah pasti ia mengundang bahaya pada data penting anda.
Perkara ini juga turut memberi jawapan mengapa ada peniaga berani meletakkan harga pendrive yang jaraknya hanya RM1 bagi setiap perbezaan saiz seperti gambar yang berada pada awal artikel ini kerana storan ‘sebenarnya’ adalah sama. Cuma ia dilabel dengan saiz storan yang lebih besar dan itulah yang menjadikan ia lebih mahal RM1 berbanding storan 32GB yang dalamnya juga mempunyai storan ‘sebenar’ sebesar 128MB.
Bagi anda yang membaca artikel ini, saya menyeru untuk memberitahu keluarga dan rakan-rakan anda mengenai perkara ini. Jangan biarkan virus epidemik ini terus menular ke tangan orang yang kita sayangi dan jangan pula kita sendiri tumpas ke tangan storan USB tiruan ini. Sama-samalah kita membanteras sindiket ini demi kesejahteraan orang di sekeliling kita dan dunia pengkomputeran sejagat.
Sumber: amanz
0 comments :
Post a Comment