Kebanjiran telefon pintar Lenovo di pasaran membuatkan pengguna sering kali rambang mata memilih, terutamanya apabila melibatkan tawaran harga yang sangat murah berbanding harga cadangan jualan daripada syarikat gergasi China tersebut.

Secara umumnya, telefon pintar Lenovo yang berada dalam pasaran merangkumi dua kategori, iaitu set AP dan set Original. Perbezaan ketara daripada kedua-dua kategori ini dapat dilihat daripada segi jaminan (warranty) dan kemas kini firmware. Perbezaan lain seperti bahasa, pembungkusan, cap SIRIM, manual dan sebagainya.

Untuk set AP, jaminan untuk telefon pintar tersebut lebih lama (sekitar 2 tahun atau lebih), tetapi hanya tertakluk kepada kedai yang menjual peranti tersebut kepada anda sahaja. Manakala set Original pula, jaminannya hanya 1 tahun, dan anda boleh menggunakan jaminan tersebut di pusat perkhidmatan Lenovo di seluruh Malaysia.

Tip Belian

Oleh yang demikian, anda dengan sendirinya boleh mengesan set AP akan lebih murah berbanding set Original. Kalau anda ingin melakukan urus niaga, lebih baik anda soal penjual terbabit terlebih dahulu sebagai teknik untuk mengetahui keaslian telefon pintar terbabit. Dari itu, anda akan dapat tahu sama ada telefon pintar tersebut daripada set AP atau Original. Juga untuk mengelakkan anda ditipu.

Bagaimanakah untuk menyemak keasliannya?

1.    Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah, buka laman web rasmi pengesanan jaminan Lenovo di http://mobilesupport.lenovo.com/my/ms/warrantylookup

2.    Lihat telefon pintar anda untuk mendapatkan nombor IMEI. Cara untuk mendapatkan IMEI mudah sahaja, tekan *#06#. Nombor IMEI telefon pintar anda akan muncul pada skrin paparan. Bagi sesetengah kes, telefon pintar akan memberikan 2 nombor IMEI yang berbeza. Usah gusar, ia biasa jika telefon pintar anda memiliki kebolehan untuk bekerja dengan 2 kad SIM.

3.    Apabila telah memperoleh nombor IMEI, masukkan nombor tersebut dan juga lengkapkan tempat kosong lain (jika diminta memasukkan kod Captcha) pada laman web tersebut.

4.    Selanjutnya, klik pada Check Warranty / Submit. Anda akan mendapat pemberitahuan berkenaan tarikh jaminan tersebut bermula dan tamat. Selain itu, anda turut boleh memeriksa jenis jaminan, status dan sebagainya.

Tahniah, jika telefon pintar anda asli. Kini, anda tidak perlu lagi pening kepala. Jika telefon pintar anda mengalami masalah (tertakluk kepada terma dan syarat) anda kini boleh menghantarnya untuk diperbaiki di mana-mana pusat perkhidmatan Lenovo di seluruh Malaysia.

Sumber: Majalah PC