TM nafi harga internet di Malaysia mahal



SHAH ALAM - Telekom Malaysia Berhad (TM) menafikan laporan mendakwa kadar internet dan jalur lebar negara berada pada tahap paling mahal.
Menerusi satu kenyataan, TM menegaskan laporan kaji selidik atas talian oleh Ookla Net Index yang meletakkan Malaysia di tangga ke -26 daripada 192 negara untuk purata kelajuan muat turun juga tidak tepat.

“Kaji selidik itu tidak menyeluruh dan seimbang kerana banyak faktor yang tidak dijelaskan secara perinci.

“TM ingin menjelaskan, tahap kelajuan jalur lebar dan keluasan liputannya adalah berbeza di antara negara dan patut  turut ambil kira polisi nasional dan dinamik pasarannya,” katanya.

Walaupun Malaysia dilaporkan mempunyai tahap kelajuan purata 5.4Mbps, liputan jalur lebarnya melangkaui kebanyakan negara-negara jiran.

Setakat suku tahun pertama 2014, tahap penembusan jalur lebar di Malaysia telah mencapai 67.2 peratus menerusi pelbagai inisiatif dijalankan oleh kerajaan seperti Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (National Broadband Initiatives - NBI).

Sebagai peneraju jalur lebar di Malaysia, TM kini mampu beri jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pelanggan di kawasan yang kurang menerima perkhidmatan secara berperingkat dengan pelancaran perkhidmatan 4G pertama  iaitu TMgo, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai dakwaan kos sambungan internet dikatakan tinggi berbanding negara lain, ianya tidak seharusnya diperbandingkan secara terus memandangkan terdapat banyak faktor lain yang turut mempengaruhi kos pelaksanaan rangkaian infrastruktur termasuklah faktor geografi serta saiz sesebuah negara itu.

“Sebagai contoh, Malaysia, dengan kawasan pendalaman serta bentuk topografi berbentuk banjaran dan gunung meliputi sebahagian besar negara, menjadikan pelaksanaan sebuah negara yang tersambung secara menyeluruh sangat mencabar,” katanya.

Menurutnya, kaji selidik BT Teleconsult telah membuktikan bahawa perbelanjaan modal (capex) TM adalah di antara paling efektif di dunia berdasarkan ciri-ciri utama rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) yang dilaksanakan serta tempoh pelaksanaan yang paling cepat.



Sumber: Sinar Harian
Share on Google Plus

About Unknown

Rakan Siber (R.C.) ditubuhkan untuk berkongsi impian dan minat yang sama terhadap teknologi semasa seperti komputer dan gadget. Kami berkongsi tip-tip untuk menolong menyelesaikan masalah disamping berita baharu dalam kalangan ahli komuniti ini.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :